Monday, September 7, 2009

Sekolah Wawasan

Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way).

pelajar

Tujuan Dan Matlamat Sekolah Wawasan

  1. Untuk mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang pelbagai bangsa dan latar belakang
  2. Untuk memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran
  3. Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu
  4. Untuk menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah

Pada masa ini terdapat 5 buah Kompleks Sekolah Wawasan yang telah beroperasi dengan jayanya iaitu :

  • Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak
  • Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah
  • Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang
  • Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor
  • Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak
Sumber Maklumat: Kementerian Pelajaran Malaysia

Kata Nama

Kata nama terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu nama am, nama khas, ganti nama dan nama terbitan.

Kata Nama Am
Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya secara umum seperti dalam contoh di bawah:
orang: ayah, polis, perempuan dll.
haiwan: ayam, itik, buaya dll.
benda: televisyen, komputer, bank dll.
tempat: stadium, jalan raya, pulau dll.
Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama am konkrit ialah nama sesuatu yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama am abstrak pula ialah nama sesuatu yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan. Kedua kelas kata ini boleh terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan.
Contoh: buai -> buaian
Kata nama am mestilah menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.

Kata Nama Khas
Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Benda-benda yang bernyawa ialah nama manusia dan nama binatang. Benda-benda yang tidak bernyawa ialah nama tempat, judul buku, nama bangunan, dan sebagainya.
Perkataan nama khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas. Contoh perkataan ditunjukkan seperti di bawah:
benda: Seri Aman, Volvo, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, dll
orang: Cik Rafidah, Inspektor Azman, Dr. Long dll
binatang: Blacky, Pak Belang, Sang Kancil,dll
tempat: Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll

Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.

Kata Ganti Nama
Kata ganti nama ialah kata nama yang digunakan untuk mewakili diri seseorang atau sebagai penunjuk. Kata ganti nama penunjuk terbahagi kepada dua iaitu penunjuk bersifat menerangkan (contohnya ini, itu), dan penunjuk bersifat pertanyaan (contohnya siapa, apa, mana).
Kata ganti diri pula terbahagi kepada tiga:
diri pertama: saya, beta, aku, patik, kami, kita
diri kedua: awak, engkau, kamu, anda, saudara, saudari, tuan hamba
diri ketiga: ia, dia, beliau, mereka, baginda, -nya


Kata Nama Terbitan
Kata nama terbitan wujud apabila kata nama am diberi imbuhan. Imbuhan yang membentuk kata nama terbitan boleh diletakkan di awal kata (awalan), di akhir kata (akhiran), di awal dan di akhir kata (apitan) dan diselitkan di tengah perkataan (sisipan).

Pembelajaran Akses Kendiri


1 Maksud


Suatu pendekatan pembelajaran yang memberi ruang dan peluang pelajar belajar secara kendiri. Pelajar menggunakan dan mengendalikan sendiri bahan-bahan pembelajaran

2 Keperluan


  • Hanya pelajar sendiri dapat melakukan pembelajaran secara optimum
  • Terdapat ruang tiada guru yang dapat melakukannya untuk pelajar
  • Setiap pelajar mempunyai minat, keperluan, sikap dan tahap kecerdasan dan kebolehan yang berbeza
  • Pelajar lebih tepat menentukan sendiri strategi pembelajaran terbaik untuknya

3 Ciri-ciri


  • Guru adalah berperanan sebagai fasilitator, jurulatih dan kaunselor
  • Suasana pembelajaran fleksible, selesa dan tanpa tekanan
  • Bahan PAK dan bahan fasilitator mudah diakses
  • Pemilihan bahan dan akvititi pembelajaran yang luas
  • Kemudahan yang membolehkan pelajar belajar secara sendiri atau kumpulan
  • Membolehkan pembelajaran mengikut kadar dan kemampuan pelajar

4 Kelebihan


  • Pelajar mendapat kemahiran belajar untuk belajar
  • Pelajar mendapat pengetahuan dan kemahiran secara berdikari
  • Pelajar dapat belajar mengikut keperluan dan gaya mereka sendiri
  • Pelejar memiliki kuasa otonomi dan tanggungjawab ke atas pembelajaran sendiri

5 Fungsi Pusat Akses Kendiri (PAK)


  • Menyediakan tempat persekitaran yang selesa dan menarik
  • Menyimpan bahan dan peralatan pembelajaran
  • Memberi peluang kepada pelajar untuk melalui pembelajaran yang berkualiti dan berkesan
  • Mempamerkan carta maklumat dan hasil kerja pelajar
  • Sebagai pusat pengajaran, kemahiran amali dan pembelajaran

6 Jenis-jenis Pusat Akses Kendiri - PAK


  1. Bilik khas
    • Bilik seni
    • Bilik bahasa
  2. Ruang dan sudut pameran
    • Papan kenyataan
    • Sudut-sudut
  3. Pusat Mudah Alih

Teori pembelajaran dan pengajaran

Tugas utama seorang pengajar atau guru adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi tugas ini, pengajar atau guru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga menciptakan pengajaran yang berkesan. Ini bermakna guru perlu mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat meransangkan minat pelajar di samping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan pelajar.

Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan pelajar yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Hal ini memerlukan kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik-teknik tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi memeransangkan pelajar belajar secara aktif, ia juga harus mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati pelajar serta dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna.

Perlunya guru menarik perhatian pelajar dalam sesuatu pengajaran, aktiviti-aktiviti yang dipilih hendaklah yang menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsep-konsep yang diterjemahkan secara jelas. Aktiviti harus boleh mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar secara berkesan.

Dalam merancang persediaan mengajar, aktiviti-aktiviti yang dipilih perlu mempunyai urutan yang baik. Ia perlu diselaraskan dengan isi kemahiran dan objektif pengajaran. Lazimnya aktiviti yang dipilih itu adalah gerak kerja yang mampu memberi sepenuh pengaruh terhadap perhatian, berupaya meningkatkan kesan terhadap intelek, ingatan, emosi, minat dan kecenderungan serta mampu membantu guru untuk menjelaskan pengajarannya.

Dalam merancang aktiviti mengajar yang berkesan dan bermakna kepada para pelajar, guru haruslah memikirkan terlebih dahulu tentang kaedah dan teknik yang akan digunakan. Pemilihan strategi secara bijaksana mampu menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu subjek atau modul.

Di antara kaedah dan teknik yang boleh digunakan oleh guru ialah :

  • Kaedah sumbang saran
  • Kaedah tunjuk cara (demonstrasi)
  • Simulasi atau kaedah pengajaran kumpulan
  • Kaedah perbincangan atau kaedah penyelesaian masalah
  • Kaedah oudioligual
  • Kaedah kodkognetif
  • Kaedah projek

Wednesday, September 2, 2009

Sekolah Bestari

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Sekolah bestari merupakan satu konsep sekolah di Malaysia. Konsep ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar - kuat atau lemah, kaya atau miskin - mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.

Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, akan diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknologi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Perkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perkembangan Sekolah Bestari telah menjadi satu arah aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari ini merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi cabaran-cabaran Wawasan Negara.

Pada peringkat awal konsep sekolah bestari diperkenalkan terdapat salah faham yang meluas dalam kalangan warga pendidik dan ibu bapa yang menyangka sekolah bestari adalah sekolah yang mesti menggunakan komputer dan kemudahan ICT. Padahal penggunaan ICT hanyalah pemangkin dalam melaksanakan konsep bestari sedangkan terdapat banyak lagi faktor ke arah pembestarian dalam persekolahan.

Contoh Karangan Ceramah : Isu Teknologi Maklumat

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multimedia (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kehadiran teknologi multimedia adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multimedia. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multimedia dalam bidang pendidikan.

Hadirin yang budiman,

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multimedia ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multimedia membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,

Di samping itu, kemajuan multimedia juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multimedia secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multimedia. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multimedia membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dari segi sosialnya pula, pembangunan multimedia mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multimedia satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Hadirin sekalian,

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multimedia tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini jugalah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Hadirin yang dikasihi,

Selain itu, jika perkembangan multimedia tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi mewujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multimedia yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, September 1, 2009

Bahasa rojak dikhuatiri kikis ketulenan bahasa Melayu

Ahli Dewan Negara hari ini melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan bahasa rojak yang satu hari nanti akan menyebabkan bahasa Melayu menjalani proses evolusi yang mengikis ketulenannya.

Mereka juga meminta kerajaan mengambil langkah tegas supaya bahasa rojak dapat dikawal melalui penguatkuasaan oleh agensi-agensi tertentu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Senator Datuk Rizuan Abd. Hamid berkata, usaha mendaulatkan bahasa Melayu akan gagal jika penggunaan bahasa rojak dibenarkan terutamanya yang bercampur-aduk dengan perkataan Inggeris.

``Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita guna bahasa Inggeris yang dimelayukan. Yang menyebut dianggap bertaraf tinggi, yang dengar pula kadang-kadang tak faham pun,'' katanya.

Beliau yang membahaskan usul RMK-9 di Persidangan Dewan Negara berkata, media juga perlu memainkan peranan dalam mengurangkan penggunaan bahasa rojak dan menyedarkan masyarakat pentingnya penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Senator Dr. Mohd Puad Zarkashi yang bersetuju dengan Rizuan berkata, isu bahasa rojak telah banyak dibualkan tetapi seolah-olah tiada pendekatan untuk menyekatnya.

``Contohnya dalam drama televisyen, bahasa yang digunakan bercampur-aduk, kadang-kadang tak seronok apabila kita tonton dan meluat,'' kata beliau.

Pembaca yang menamakan dirinya `Pencinta BM' dari Kota Bharu itu menjelaskan istilah asing seperti parcel, presinct, boulevard dan souq tidak wujud dalam kamus perbendaharaan kata Melayu.

Ekoran itu, Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Dr Awang Sariyan dalam kenyataannya di akhbar Utusan Malaysia hari ini memberitahu, DBP pernah menegur Perbadanan Putrajaya mengenai penggunaan istilah-istilah asing itu tetapi tidak diendahkan.

A. Aziz menggesa perkara mengenai penggunaan istilah, ejaan dan konotasi dalam pemberian nama jalan, kawasan dan sebagainya itu dimasukkan dalam undang-undang kecil PBT di seluruh negara. Ia bertujuan supaya ada tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang ingkar.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta pihak berkuasa tempatan merujuk kepada DBP terlebih dahulu dalam hal berkaitan pemberian nama jalan, kawasan perumahan, papan tanda dan sebagainya.``Selain itu, kita juga turut membincangkan penggunaan istilah Cyberjaya yang sepatutnya dieja sebagai Siber Jaya,'' katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, terdapat juga premis yang menggunakan bahasa Melayu yang baik seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menggunakan istilah balai ketibaan dan balai berlepas.