Friday, October 2, 2009

Prafrasa dan parafrasa

Dalam ilmu tatabahasa terdapat dua istilah yang seakan-akan sama bentuk dan bunyinya, iaitu prafrasa dan parafrasa, walhal begitu jauh beza maknanya. Apakah maksud kedua-dua istilah ini?

Kata prafrasa merupakan istilah tatabahasa dalam bidang morfologi, yakni dalam aspek golongan kata tugas. Kata tugas termasuk sebagai salah satu empat golongan kata utama bahasa Melayu. Tiga golongan kata yang lain itu ialah kata nama, kata kerja, dan kata adjektif.

Pra ialah bentuk awalan daripada bahasa Sanskrit. Maksud pra dari segi bahasa ialah sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Perkataan prasekolah bermaksud sebelum memasuki sekolah (sekolahan dasar), dan prasiswazah bermakna sebelum lulus sebagai siswazah.

Namun, tidak setiap perkataan yang didahului di hadapannya dengan pra membawa maksud sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Misalnya, kata prasarana bermaksud keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan, bekalan elektrik, air yang perlu bagi pembangunan, dan prasetia bermaksud niat atau janji yang teguh.

Dalam golongan kata tugas, kata prafrasa merupakan kata yang agak besar jumlahnya, dan kerap pula menimbulkan masalah kepada pengguna bahasa Melayu. Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja, atau frasa adjektif. Kata prafrasa ini mendukung tugas-tugas seperti maksud yang terkandung dalam ayat, yakni tugas membantu, menguatkan, menegaskan, menafikan, memerikan, menyendikan, membilang, dan lain-lain

Berdasarkan tugas-tugas ini, maka kata prafrasa mengandungi sembilan subjenis, iaitu kata bantu (telah, masih, harus), kata penguat (paling, nian, sangat), kata penegas (-kah, -tah, juga), kata sendi nama (daripada, antara, seperti), kata arah (atas, segi, samping), kata bilangan (dua, segala, setiap), dan kata adverba (selalu, begitu, demikian).

Yang berikut dipaparkan satu contoh penggunaan setiap jenis kata prafrasa:

1. Pekerja itu telah pulang. (kata bantu aspek)

2. Masakan isteri saya paling sedap. (kata penguat)

3. Anak siapakah yang menangis ini? (kata tanya)

4. Ayah tidak ke pejabat pagi tadi. (kata nafi)

5. Senaman ringan adalah baik untuk kesihatan. (kata pemeri)

6. Pengawal keselamatan itu berjaga hingga pagi. (kata sendi)

7. Para pemain berlatih di tengah padang. (kata arah)

8. Ibu membubuh sedikit garam ke dalam masakannya. (kata bilangan)

9. Kami selalu memperkatakan hal itu. (kata adverba)

Kata parafrasa termasuk dalam bidang sintaksis, yakni yang berkaitan dengan pembentukan ayat. Parafrasa bermaksud pengungkapan semula kandungan sesuatu tulisan (ayat) dengan menggunakan kata-kata lain tanpa mengubah makna atau maksud ayat asal. Dengan pengertian yang lain bahawa dua atau lebih ayat dianggap berparafrasa apabila ayat-ayat tersebut mengandungi pengertian, atau memberikan penerangan yang sama, walaupun ayat-ayat yang berkenaan mempunyai struktur dan aturan kata yang berbeza daripada struktur asal, seperti ayat-ayat yang berikut:

10. (a) Haji Aziz mengecat rumahnya itu.

(b) Rumahnya itu dicat oleh Haji Aziz.

11. (a) Engku Aiman ke Melaka setiap hari.

(b) Ke Melaka Engku Aiman setiap hari.

(c) Setiap hari, Engku Aiman ke Melaka.

Jika dilihat dari segi binaannya, kedua-dua ayat 10 (a) dan 10 (b) membawa penegasan yang berlainan kerana ayat (a) memberikan penegasan kepada Haji Aziz, manakala dalam ayat (b) penegasannya pada rumahnya. Ayat 10 (a) ayat aktif transitif, manakala ayat 10 (b) ialah ayat pasif. Tetapi oleh sebab kedua-dua ayat tersebut memberikan penerangan yang sama, maka ayat-ayat ini dikatakan berparafrasa.

Demikian juga halnya dengan ayat 11 (a), 11 (b), dan 11 (c). Ayat 11 (a) menjudulkan Engku Aiman; ayat 11 (b) memberikan penekanan kepada frasa sendi nama ke Melaka; dan ayat 11 (c) menonjolkan frasa keterangan (adverba) setiap hari sebagai penegasan. Kendatipun unsur-unsur ayat berkenaan berbeza letaknya dalam ayat, namun pengertian yang tersirat dalamnya tetap sama, iaitu mengisahkan bahawa Engku Aiman ke Melaka setiap hari. Ketiga-tiga ayat contoh tersebut itu ayat tunggal yang di songsangkan unsur predikatnya.

Begitulah penerangan tentang prafrasa dan parafrasa dalam bahasa Melayu.

Wacana

Setiap ayat yang dibina mempunyai satu tumpuan makna yang membentuk satu fokus pemikiran. Fokus pemikiran ini disebut wacana. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap, yang melebihi batas ayat.

Dari segi tatatingkat tatabahasa, wacana terletak pada tingkat yang tertinggi selepas ayat, yakni bermula daripada “perkataan” di tingkat bawah kepada “frasa” (di tingkat kedua), kemudian “klausa”; selepas itu “ayat”, dan tingkat yang tertinggi “wacana”. Kedudukan ini diperjelas melalui rajah yang berikut:

Perkataan > Frasa > Klausa > Ayat > Wacana

Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran secara berurutan serta lengkap. Sesuatu wacana, sama ada dalam bentuk lisan (pidato, khutbah), atau tulisan (surat, novel, cerpen, artikel) diujarkan/ditulis bagi tujuan menyampaikan sesuatu maklumat tentang sesuatu topik. Wacana bentuk tulisan ditulis dalam pelbagai bentuk, iaitu sama ada bentuk naratif (pemerian), deskriptif (penggambaran, eksposisi (pendedahan) atau penghujahan.

Sesuatu wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama, iaitu kohesi (tautan) dan koheren (runtutan).

Kohesi bermaksud bahawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain. Keserasian hubungan ini, lazimnya, melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Hal ini dijelaskan dalam ayat contoh yang berikut:

1. Pada waktu ini, abang dan kakak tinggal di bandar Kajang.

2. Sekarang, mereka tinggal di sana.

Kohesi antara ayat 1 dengan ayat 2 wujud melalui pertalian antara Pada waktu ini dengan Sekarang, abang dan kakak dengan mereka, dan di bandar Kajang dengan di sana.

Koheren atau runtutan pula merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesuatu wacana sehingga menjadikan teks itu bermakna. Contohnya:

Ekonomi Malaysia masih dalam keadaan gawat. Jelaslah, ekonomi kita masih belum betul-betul pulih. Harga komoditi kita masih rendah. Imbangan dagangan kita masih belum meningkat. Oleh itu, kita mesti menghadapi kenyataan ini dengan realistik. Kita tidak harus berbelanja lebih kerana keadaan ini.

Dalam contoh di atas, kesinambungan idea tentang keadaan ekonomi yang tidak menentu terjalin melalui perkataan dan frasa ekonomi Malaysia dalam ayat 1, belum betul-betul pulih dalam ayat 2, harga komoditi dalam ayat 3, imbangan dagangan dalam ayat 4, dan menghadapi kenyataan ini dalam ayat 5. Kelima-lima ayat dalam perenggan di atas menjadi koheren yang bermakna.

Untuk memahami ciri koheren dengan lebih jelas lagi, telitilah satu contoh lagi.

Sebutan berdasarkan ejaan dikenal juga sebagai sebutan fonemik.

Sebutan fonemik menegaskan bahawa pengucapan sesuatu bunyi

itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem.

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa hampir setiap fonem dalam

bahasa Melayu dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem yang

mendukung satu nilai bunyi.

Dalam contoh di atas, koheren terjalin daripada sebutan berdasarkan ejaan dalam ayat 1, sebutan fonemik dan pengucapan sesuatu bunyi itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem dalam ayat 2, prinsip ini dan morfem dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem dalam ayat 3. Ketiga-tiga ayat dalam perenggan ini menjadi koheren yang bermakna.

Selain ciri kohesi dan koheren ini, terdapat juga ciri-ciri lain yang membantu menghasilkan wacana yang utuh, seperti tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan peranan wacana.

Dalam bentuk tulisan, seperti surat kiriman, esei dan lain-lain, wacana yang utuh mempunyai tubuh, yakni format teks yang lengkap. Format teks itu mengandungi pendahuluan, tubuh (isi dengan jalinan bahasa yang mantap), penutup, dan unsur lain (yang melengkapkan wacana seperti graf, jadual, peta, statistik, dan sebagainya).

Begitulah huraian tentang wacana dalam berbahasa. Wacana begitu penting dalam menentukan kegramatisan bahasa.

Adjektif atau Adverba?

Kata adjektif merupakan salah satu golongan kata utama dalam bahasa Melayu. Golongan kata yang lain ialah kata nama, kata kerja, dan kata tugas.

Kata adjektif yang juga dikenal sebagai kata sifat, ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Frasa adjektif itu boleh terdiri daripada hanya satu kata atau binaan beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif dan unsur-unsur keterangan yang lain, seperti kata bantu atau kata penguat. Oleh itu, kata adjektif dapat dikenal pasti dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat. Contohnya: amat manis, manis sungguh, sangat lain, dan lain sekali.

Kata amat, sungguh, sangat dan sekali ialah kata penguat yang boleh hadir di hadapan atau di belakang kata adjektif dan frasa adjektif. Kata adjektif dalam frasa adjektif tersebut ialah manis (amat manis, manis sungguh), dan lain (sangat lain dan lain sekali).

Dalam ayat, kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu kata nama atau sesuatu frasa nama. Dengan kata lain, kata adjektif hadir di belakang kata/frasa nama dalam binaan frasa adjektif. Misalnya, dalam frasa angin kencang, kebaya labuh dan mi segera, kata adjektif kencang, labuh dan segera berada di belakang kata nama, dan menerangkan kata nama angin, kebaya dan mi.

Kata adverba bukan satu daripada golongan kata utama yang sama tarafnya dengan golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Kata ini merupakan bahagian atau salah satu jenis golongan kata tugas. Kata tugas bahasa Melayu mempunyai 17 jenis, dan selain kata adverba termasuklah kata hubung, kata sendi, kata seru, kata bantu, kata penguat dan kata arah.

Kata adverba ditakrifkan sebagai perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat. Fungsinya ini berbeza dengan fungsi kata adjektif yang menerangkan kata nama dan frasa nama. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Kami kadang-kadang membincangkan hal itu.

2. Mereka begitu mahir dalam bidang komputer.

3. Pegawai baharu itu dijangka tiba pada hari esok.

4. Dia sering kali ke Beijing sejak suaminya berada di sana.

Kata adverba kadang-kadang menerangkan kata kerja membincangkan, kata adverba begitu menerangkan kata adjektif mahir, kata adverba esok menerangkan kata nama hari dan sering kali menerangkan frasa sendi nama ke Beijing.

Dalam bahasa Melayu, ada empat bentuk kata adverba, iaitu kata adverba jati (sering, kadang-kadang, saling, begitu), adverba yang asalnya daripada kata adjektif (kencang, kuat, hampir, kurang), kata adverba yang asalnya daripada kata kerja (berkilat, berseri, menyala, membisu), dan kata adverba ganda (betul-betul, sekali-kali, berdikit-dikit, kecil-kecilan). Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

5. Kenalan rapat Kernil Singh bernama Hardeep Kaur.

6. Padi yang ditanam rapat tidak dapat beranak banyak.

7. Suara pegawai tentera itu garau.

8. Pegawai tentera itu bersuara garau.

9. Tali itu panjang.

10. Aiman sudah besar panjang.

11. Kami makan mi segera.

12. Penghidap H1N1 dinasihati ke hospital segera.

Dari segi penggolongan kata, rapat, garau, panjang dan segera dalam ayat 5 – 12 ialah kata adjektif. Kata rapat, garau, panjang dan segera dalam ayat 5, 7, 9 dan 11 berfungsi sebagai kata adjektif kerana menerangkan kata nama kenalan (ayat 5), kata nama suara (ayat 7), kata nama tali (ayat 9), dan kata nama mi (ayat 11).

Dalam ayat 6, 8, 10 dan 12 pula, kata adjektif rapat, garau, panjang dan segera bukan bertindak sebagai penerang kata nama, tetapi masing-masing menerangkan kata kerja ditanam (ayat 6), kata kerja bersuara (ayat 8), menerangkan kata adjektif panjang (ayat 10), dan menerangkan frasa sendi nama ke hospital (ayat 12).

Berdasarkan ayat 5 – 12 di atas, ketaralah kata adjektif, selain berfungsi sebagai kata adjektif, dapat juga berfungsi sebagai kata adverba bagi tujuan untuk menerangkan kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama.

Demikian huraian tentang dwifungsi kata adjektif dalam ayat bahasa Melayu. Oleh itu, berhati-hatilah anda menggunakan kata adjektif sebagai kata adjektif, dan kata adjektif yang berfungsi sebagai kata adverba.

Guru Tuntut Imbuhan

Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Namun kata beliau, pada masa ini kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk bagi membayar BISP kepada guru-guru yang lain.

Pada masa ini guru-guru yang menerima BISP ialah guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

``Kita juga perlu memikirkan kewajarannya dan nanti ada pula guru-guru mata pelajaran lain yang turut menuntut perkara yang sama,’’ katanya.

Sesi dialog bersama Ketua Pengarah Pelajaran tersebut merupakan lanjutan daripada sesi penerangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut mendengar pelbagai masalah lain termasuk masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar.

Seorang guru besar dari Selangor mempersoalkan tentang tempoh perpindahan yang singkat guru bahasa Inggeris dari kawasan bandar ke luar bandar.

``Guru bahasa Inggeris dari bandar ini cantik, ada kereta besar, suami pangkat besar tetapi tidak lama di sekolah luar bandar kerana telah minta ditukarkan ke sekolah bandar,’’ katanya.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak kementerian mengambil guru dari kawasan luar bandar untuk mengajar mata pelajaran tersebut kerana hanya guru-guru sedemikian yang boleh memahami dan menerima keadaan persekitaran itu.

``Hanya orang luar bandar sahaja yang boleh membantu pelajar luar bandar,’’ katanya.

Pada sesi dialog tersebut pelbagai cadangan turut dikemukakan oleh golongan guru termasuk mengenai tempoh mengajar yang lebih lama untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan tempoh mengajar yang singkat untuk mata pelajaran lain.

Turut ditanya ialah mengenai kegagalan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Malaysia dan penggunaan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Melayu untuk mata pelajaran tersebut.

Selain itu turut dipersoalkan ialah kewajaran memberi BISP secara wang tunai kepada guru-guru terbabit sebaliknya mencadangkan agar pemberian baucar buku kepada mereka.

Dalam pada itu Alimuddin berkata, semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh golongan pendidik akan diberi pertimbangan yang serius.

Berhubung pelbagai isu yang berbangkit mengenai perkara baru yang diperkenalkan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, kementerian mempunyai tempoh dua tahun lagi yang membolehkan pelbagai cadangan dikaji untuk manfaat warga pendidikan semua.

Tuesday, September 29, 2009

Pendidik Perlu Sokong Pemansuhan PPSMI

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru warga pendidik di seluruh negara menyokong sepenuh hati pemansuhan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) demi perubahan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru perlu memahami dan menghayati dasar-dasar baru kerajaan bagi menjelaskan kepada ibu bapa dan masyarakat tentang keputusan pemansuhan itu.

''Pastinya tidak elok kalau di kalangan warga pendidik berdebat ada yang pro dan ada yang kontra. Apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, ia memang ada rasionalnya.

''Justeru saya berharap sokongan 100 peratus dari kalangan warga pendidik atas dasar dan perubahan yang kita buat, biarlah sepenuh hati kalau tidak nanti ada yang berbelah-bahagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengakui pencapaian PPSMI pelajar di bandar agak baik tetapi bilangannya amat rendah.

''Berdasarkan realiti ini kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeorpady (kesukaran berganda).

''Jika berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi defisit pengetahuan di kalangan pelajar di mana pelajar yang gagal menguasai konsep asas sains dan matematik menghadapi masalah untuk menguasai ilmu sains dan matematik di peringkat lebih tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun terdapat suara-suara yang membantah pemansuhan PPSMI terutama di akhbar dan blog, namun suara majoriti senyap harus diambil kira.

''Mungkin 80,000 yang tidak setuju (dengan pemansuhan ini) dalam blog, tapi dekat luar ada dua tiga juta lagi yang menyokong," katanya.

Beliau menambah, lima buah Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus bahasa Inggeris akan diwujudkan untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris supaya guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru terbaik dari luar negara dapat ditempatkan di kawasan luar bandar.

Ini termasuk menyediakan insentif khusus kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia berkhidmat di luar bandar.

Katanya, enam jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBI).

''Jawatankuasa ini bertanggungjawab memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, logistik, personel dan penerangan demi kebaikan kualiti pendidikan kebangsaan," katanya.

Wajib Lulus Bahasa Inggeris 2012

Kerajaan menimbang kemungkinan untuk mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat kelayakan untuk mendapatkan sijil menjelang tahun 2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pertimbangan itu adalah berdasarkan cadangan yang diterima daripada pelbagai pihak dan 85 peratus daripadanya bersetuju untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun katanya, beberapa perkara penting perlu diperhalusi bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran subjek tersebut sebelum ia dilaksanakan.

“Kita tidak mahu terburu-buru dan kita kena pastikan tenaga pengajar mencukupi serta kualiti guru-guru terlibat meningkat.

“Tenaga pengajar luar dari United Kingdom dan Australia seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dipertimbangkan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar First Steps di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra anjuran FTM Bina Sdn. Bhd., dan Pearson Education bersama Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran di sini semalam.

Jelas Mohd. Puad, untuk melaksanakan perkara tersebut, bahagian kokurikulum dan pentafsiran telah diarah melakukan kajian terperinci.

Lebih Banyak Guru Berkualiti Di Pedalaman

Sudah tiba masanya kerajaan menggandakan usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi supaya mereka dapat ditempatkan di pedalaman dan luar bandar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa serta gagasan 1Malaysia demi merealisasikan apa yang digariskan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran.

"Justeru, satu dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, selain guru, kualiti pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan kerana sudah tiba masanya pemilihan para pemimpin sekolah dilakukan tanpa terlalu berlandaskan kekananan.

Tegasnya, ia juga harus dibuat melalui proses yang lebih telus dengan memilih yang terbaik, berbakat serta mempunyai kualiti kepimpinan dinamik.

"Pemimpin sekolah perlu seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang dan komited di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas seharian.

"Ini nanti diyakini mampu memberikan didikan terbaik kepada murid," katanya.

Muhyiddin turut mencadangkan agar usaha diteruskan dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, produktif, kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha melahirkan pelajar yang holistik serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

"Pada masa sama, kementerian perlu meneruskan pembangunan infrastruktur memandangkan masih terdapat sekolah yang daif dan usang, tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.

"Akhirnya nanti kita perlu memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan warga pendidik dengan mewujudkan Kem 1Malaysia pada setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, walaupun penyertaan dalam pendidikan rendah adalah tinggi, namun masih terdapat lebih 125,000 kanak-kanak di negara ini yang mencapai umur persekolahan peringkat rendah masih tidak mengikuti alam persekolahan.

"Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman," ujarnya.