Friday, October 2, 2009

Tanda Sempang, Tanda Pisah

Penggunaan tanda baca dalam penulisan, terutama bentuk penulisan naratif amatlah penting. Tanpa tanda baca atau kesalahan penggunaan tanda baca pada tempat yang perlu dan sesuai menyebabkan berlakunya kesalahan bahasa. Kesalahan yang berpunca daripada tanda baca ini boleh mengubah keseluruhan makna ayat.

Tulisan pada kali ini akan menyentuh cara penggunaan dua tanda baca yang hampir serupa, iaitu tanda sempang dan tanda pisah. Tanda pisah disebut juga sebagai tanda sekat atau tanda sengkang. Penggunaan kedua-dua tanda baca ini tidaklah begitu tinggi kekerapannya seperti penggunaan tanda koma (,) dan tanda noktah (.).

Tanda sempang berbeza penggunaannya daripada tanda pisah (dash). Garis yang dibuat sebagai tanda sempang itu lebih pendek daripada garis yang dibuat sebagai tanda pisah. Dengan perbezaan kecil ini, maka cara penulisan atau penggunaan tanda ini juga berbeza.

Dalam penggunaan tanda sempang, tiada ruang diberikan di antara kata dengan tanda sempang itu. Misalnya, kata kura-kura. Perhatikan bahawa di antara vokal “a” dalam perkataan kura yang pertama dengan tanda sempang, dan huruf konsonan “k” dalam perkataan kura yang kedua, selepas tanda sempang itu tiada ruang diberikan. Tetapi dari segi penggunaan tanda pisah pula, di antara kata dengan tanda pisah – baik sebelum atau selepas tanda pisah itu – sedikit ruang yang diberikan, Misalnya: Januari – Jun bukan *Januari-Jun.

Perhatikan perbezaan pada garis untuk tanda sempang dan tanda pisah, serta penggunaan kedua-dua tanda baca tersebut dalam ayat contoh yang berikut:

Beribu-ribu penonton – lelaki dan perempuan, tua dan muda – menyaksikan perasmian pembukaan bangunan baru itu oleh Perdana Menteri.

Sekarang, marilah kita lihat fungsi tanda sempang dan tanda pisah ini dalam penulisan.

Tanda sempang digunakan untuk menunjukkan kata ganda (termasuk penulisan kata ganda dalam ejaan Jawi). Contohnya: budak-budak, adik-beradik dan lintang-pukang. Fungsi tanda sempang yang kedua ialah tanda itu digunakan untuk menunjukkan atau menegaskan ejaan sesuatu perkataan. Contoh:

s-e-y-o-g-i-a bukan s-a-y-u-g-i-a

l-a-n-c-o-n-g dan l-a-n-c-u-n-g mempunyai makna yang berlainan

k-e-r-u-h maksudnya tidak jernih, k-e-r-o-h pula ertinya curang

Dalam penulisan dialog, tanda sempang boleh digunakan untuk menunjukkan pertuturan yang tidak lancar. Contohnya:

“Bu-bu-bukan saya yang melakukannya, tu-tuan,” katanya dengan gagap.

Fungsi ketiga tanda sempang adalah untuk tujuan memisahkan deretan angka yang berbeza fungsi. Contohnya:

O3-2148214, dan 013-2137540 (nombor telefon)

570831-10-5209 (tarikh lahir)

060 00930921 52-5 (nombor akaun bank)

983-41469-5-7 (International Standard Book Number – ISBN)

Merangkaikan kata dasar yang dipendekkan untuk menyatakan sifat sesuatu bangsa ialah fungsi tanda sempang yang keempat. Contohnya: Indo-Belanda, Anglo-China.

Selain itu , tanda sempang digunakan untuk memenuhi fungsi memisahkan angka daripada huruf; dan memisahkan huruf kecil daripada huruf besar. Contohnya:

ke-7, 1960-an

hamba-Mu, anti-Amerika

Dalam pada itu, tanda sempang perlu digunakan untuk memisahkan kata-kata yang tidak dapat ditulis selengkapnya oleh sebab ketiadaan ruang. Contohnya:

(a) ...pendengaran-

nya...

(b) ...sayur-

sayuran

Seperti juga tanda sempang, tanda pisah memenuhi beberapa fungsi tertentu. Pertama, tanda ini memisahkan keterangan bagi sesuatu idea atau satu siri idea sama ada di bahagian tengah ayat atau di bahagian akhir ayat. Contohnya:

(a) Segala impian – wang, nama dan kuasa – kini, musnah akibat

perbuatannya sendiri.

Tanda pisah juga digunakan untuk menyisipkan kata, frasa, klausa dalam ayat bagi menunjukkan aliran fikiran penulis yang berubah-ubah, terganggu, atau terhenti. Contohnya:

Semasa saya meninggalkan syarikat itu – hampir 15 tahun saya di sana – jawatan terakhir saya ialah sebagai pengurus.

Akhir sekali tanda pisah digunakan sebagai pengganti kata hubung “hingga”. Contohnya:

Jun – Disember

Tahun 2000 – 2005

Demikian huraian tentang penggunaan tanda sempang dan tanda pisah dalam penulisan.

No comments:

Post a Comment