Friday, August 21, 2009

Apa akhirnya nasib bahasa Melayu?

Utusan Malaysia
Oleh Noraini Abdul Razak

Tertarik membaca saranan Persatuan Penulis Perlis (3P) baru-baru ini supaya istilah bahasa Melayu digunakan semula menggantikan bahasa Malaysia. Perkara itu turut dibangkitkan oleh penulis apabila akhbar ini mahu terus-terusan menggunakan istilah bahasa Malaysia.

Ketika itu ada yang menyanggah - apalah ada pada istilah, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sama saja. Ada juga berpandangan tidak perlu dibangkitkan kerana kelak menambah kekeliruan dan kekalutan di kalangan pencinta bahasa.

Hakikatnya tidak semudah itu isu istilah bahasa Melayu harus dipinggirkan. Ia sangat penting lantaran menyentuh "harta" bangsa Melayu yang dijadikan tunggak dalam Perlembagaan negara.

Jelas disebut dalam Perkara 152(1) - Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. Justeru tidak perlu dibangkitkan siapa atau kepentingan politik apa yang digunakan untuk mengubah istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Ini kerana tuntutan asal penubuhan negara menggariskan hanya bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan - satu tuntutan yang amat kuat kesannya jika dilihat daripada pelbagai sudut.

Tetapi ia tidak lagi dipenuhi sekarang ini. Istilah bahasa Melayu tidak lagi ada kuasanya. Ia diganti dengan istilah bahasa Malaysia yang bersifat majmuk bagi menggambarkan bahasa yang diterima pakai secara meluas oleh rakyat.

Bahasa Melayu kononnya menjadi tidak sesuai dengan kerencaman bangsa di negara ini selain tidak seiringan dengan cita-cita mahu mewujudkan bangsa Malaysia yang selayaknya menggunakan bahasa Malaysia. Kononnya juga apabila disebut bahasa Malaysia, maka dunia luar akan menggambarkan satu bahasa yang digunakan oleh bangsa Malaysia sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Penduduk pelbagai kaum masih lekat dengan bahasa ibunda masing-masing. Lebih daripada itu, bahasa ibunda menjadi alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah jenis kebangsaan waima muridnya hanya lima orang.

Sedangkan menurut Perlembagaan, bahasa kaum-kaum lain sepatutnya hanya diajar di sekolah dan bukannya menjadi bahasa untuk mengajar. Teras segala-galanya masih bahasa Melayu. Namun bahasa Melayu yang mengaitkan kepentingan bangsanya sebagai pemilik asal negara ini tidak lagi memiliki nilainya.

Sepatutnya apabila disebut bahasa Melayu akan mengingatkan dunia luar bahawa nilai dan kepentingan bangsa Melayu dengan bumi Malaysia sehingga selayaknya bahasa itu dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan.

Namun perkembangan semasa tidak menunjukkan pengiktirafan sedemikian rupa. Di kala kaum-kaum lain berbangga kerana susur galur mereka masih dikaitkan dengan bahasa rasmi di sekolah, bahasa Melayu pula semakin luput dan tidak lagi menjadi lambang bangsanya.

Bahasa Malaysia yang kononnya diterima pakai secara rasmi dan meluas (biar pun Perlembagaan tidak dipinda untuk menghalalkannya) akan terus mengambil tempat bahasa Melayu.

Yang membimbangkan, bukan semua yang menggelar diri mereka bangsa Malaysia kelak mahu menggunakan bahasa Malaysia - hanya Melayu yang akan terus menggunakan bahasa Melayu itu.

Maka jadilah dan terbentuklah bangsa Melayu yang bahasanya adalah bahasa Malaysia manakala kaum lain terus bekerja keras mendaulatkan bahasa mereka termasuk dalam menetapkan kriteria untuk memilih pekerja di syarikat. Dan istilah bahasa Melayu hanya ada dalam Perlembagaan.




No comments:

Post a Comment