PROF. Madya Dr. Satapah Ahmad dari Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dalam rencananya “Penyelidikan makmurkan penerbitan,” antara lain mengimbau betapa pentingnya kemajuan penyelidikan boleh mendorong penerbitan ilmiah, apabila dipandang secara teori dan amalan.
Sebenarnya penerbitan ilmiah adalah suatu industri yang mempunyai masalah saka yang tersendiri. Ini telah kami bincang dan bahaskan sejak gerakan pembangunan penerbitan ilmiah dibuat secara muafakat mulai tahun 1985 apabila Jawatankuasa Penerbitan Pengajian Tinggi ditubuhkan.
Penggerak utamanya pada masa itu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Penerbit UM (Universiti Malaya), Penerbit USM (Universiti Sains Malaysia) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Di bawah Jawatankuasa ini satu program latihan bersama IDRC Kanada telah dilakukan pada tahun 1987-89.
Kemudiannya gerakan pembangunan penerbitan ilmiah itu ditangani pula oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia - MAPIM yang ditubuhkan dengan rasmi di bawah telunjuk Prof. Dr. Anuwar Ali, selaku Pengarah, Jabatan Pengajian Tinggi di Kementerian Pendidikan pada 1998.
Di Amerika Syarikat (AS) ada lebih 100 penerbit universiti yang besar dan kecil, aktif dalam penerbitan ilmiah dan penerbitan umum.
Penerbit universiti di AS memberi sumbangan yang agak besar kepada dunia penerbitan di sana. Dalam pada itu pun penerbitan ilmiah di AS tidak lari daripada masalah saka penerbitan ilmiah, sama seperti yang dihadapi oleh penerbit universiti di Malaysia.
Kebelakangan ini para pengulas industri perbukuan membangkitkan krisis dalam penerbitan ilmiah, termasuk krisis dalam penerbitan jurnal ilmiah. Cumanya, apabila pengulas-pengulas itu membentangkan apa yang dikatakan krisis dalam penerbitan ilmiah di AS, tetapi penerbit dan industrinya tetap memberi sumbangan besar kepada terbitan ilmiah dan jurnal ilmiah khasnya.
Dibandingkan dengan negara kita, belum ada pengulas yang melabel wujudnya krisis dalam penerbitan ilmiah di Malaysia. Barangkali, label itu tidak dapat diberikan kerana sebenarnya penerbitan ilmiah di Malaysia masih pada peringkat permulaan lagi.
Kerenah
Penerbit UM, dianggap sebagai penerbit universiti tertua di negara ini. Terbitannya yang pertama muncul pada 1960. Sehingga sekarang Penerbit UM masih belum dapat menerbitkan judul terbitannya yang ke-1,000. Oleh itu produktiviti Malaysia masih kecil untuk mengocakkan gelombang krisis kepada industrinya.
Kegiatan penerbitan ilmiah di Malaysia pada masa ini didominasi oleh penerbit atau jabatan penerbitan agensi kerajaan. MAPIM yang menghimpun 23 penerbit ilmiah Malaysia dapat dibahagikan sebagai berikut: 17 penerbit institusi pengajian tinggi awam (IPTA), 5 penerbit pusat penyelidikan, dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Umum diketahui penerbit swasta memang tidak menceburkan diri dalam penerbitan ilmiah. Pertama kerana pasarannya yang kecil, kedua kerenah penerbitannya yang lebih kritikal.
Walaupun begitu Pelanduk Publications sebagai sebuah penerbit swasta patut dipuji kerana memberikan sumbangan yang besar dalam penerbitan ilmiah dan dapat dijalankan tanpa dana kerajaan.
Kembali kepada mesej rencana Dr. Satapah, untuk memperlihatkan kemajuan penyelidikan maka kegiatan penerbitan ilmiah yang seiring kuat mesti diwujudkan.
Secara ringkas sumber dan modal penerbitan ilmiah kita adalah kecil, fragmented dan tidak sepadu. Cadangan menubuhkan sebuah penerbit universiti nasional telahpun dikemukakan pada tahun 1998 tetapi tidak menjadi kenyataan.
Dalam tiga tahun lalu diusahakan pula pembentukan konsortium pemasaran sepadu - dikongsi sama oleh penerbit universiti. Cadangan ini juga mati ditengah jalan di salah satu jawatankuasa peringkat kebangsaan.
Pada umumnya kedudukan kakitangan dan pegawai penerbitan adalah lebih rendah daripada kedudukan pegawai tadbir universiti atau institut. Sehingga sekarang sebahagian besar penerbit universiti tidak mempunyai tenaga editorial yang berstruktur dan berpengalaman. Jauh sekali jika dibandingkan dengan penerbit universiti di AS.
Pembinaan judul terbitan dan pemasaran adalah dua aspek yang perlu dibina kuat secara seiring. Dengan jumlah judul yang lebih besar dan karya yang bermutu, maka pemasarannya akan menjadi bermakna dan efektif. Kelemahan ini ditambah lagi oleh kerenah pentadbiran institusi yang meninggalkan pembangunan kakitangan penerbitan dibandingkan dengan kakitangan bidang lain.
(Sumber : Utusan Malaysia (19/06/2006) )
No comments:
Post a Comment